Thursday, November 2, 2017

Bab 4





Bab 4





“Busy sungguh puan ni. Dari tadi telefon tu tak berhenti bunyi mesej. WhatsApp ya puan?” Orked hanya tersengih bila teguran dari Effa itu menyapa.

Fikirannya terganggu dengan mesej Najman. Tapi ada persoalan yang perlu dirungkaikan mengenai Tuan Fairuz.
Bagaimana mereka tahu kisah cinta sebelah pihak antara dia dan pegawai itu?

“Effa, saya nak tanya ni. Macam awak dan Leading Zul tau pasal saya dengan Tuan Fairuz?” Tanya Orked. Perbualan mereka awal pagi tadi terngiang-ngiang di gegendang telinganya.

“Saya tak tahu pun puan. Saya baru jer pertukaran masuk ke unit. Dulu saya di Kem Majidee.” Jawab Effa.

Orked mengeluh perlahan. Ya.. Baru dia teringat. Semasa sesi memperkenalkan diri dulu, Effa ada menyebut tentang itu.

Dan anggota yang paling lama di unit itu adalah Leading Zul. Dia sudah lima tahun berada di dalam unit itu. Tapi yang menjadi persoalannya, Leading Zul kenal Tuan Fairuz ke?

“Kenapa puan?” Orked hanya menggeleng.

Ah.. Diam itu lebih baik! Bisik hati Orked.

Matanya beralih ke gajet sendiri. Aplikasi WhatAsapp disentuh. Mesej yang baru masuk itu dibaca perlahan di dalam hati.

Dear..
Nak tengok gambar kapal.

Cikgu ni tak mengajar mata pelajaran lain ke? Asyik hantar mesej sejak tadi. Kita pulak yang bosan! Kejap-kejap mesej tambah order. Cuba la hantar single message tapi lengkap semuannya. Kan senang!

Hati membebel, tapi jarinya laju bergerak di skrin sentuh gajetnya.

Kapal semua tak ada. Pi belayar!

Tak sampai seminit, telefon Orked menerima mesej lagi.

Bohong la dear. Mustahil semua kapal pi belayar. 
Ambilkan la satu gambar. Kesian saya tau. 
Teringin nak tengok!

Haiih..mengada betul la Cikgu ni. Mereng agaknya!

Bot nelayan ada. Nanti saya send kat awak.

Padan dengan muka! Minta lagi macam-macam. Ingat orang kat pengkalan ke? Kita tengah beli barang-barang yang awak kirim tau.

Sampai hati awak!(Ikon emotion sedih.)

Laaaa... Ada lagi dia reply! Senget betul! Hati Orked mula membebel.

Kalau teringin sangat nak tengok, bulan empat tahun depan nanti, 
anjurkan rombongan sekolah masa hari terbuka TLDM. 
Jemput la ke KD Sultan Ismail Tanjung Pengelih. 
Masa tu nak naik kapal pun boleh. 
(Ikon emotion kenyit mata)




Awak, dah tido ke?

Seminit berlalu..
Sunyi sepi. Telefon dibelek lagi.

Mana pulak cikgu ni? Selalu ada jer. Takkan dah 'karam'? Awai lagi kot!

Awak.. Saya dah balik ni. 
Boleh tak pulangkan kunci kereta saya?
Esok saya nak keluar awal.

Pesanan dihantar. Hati gelisah sendiri. Masa terus berlalu. Tapi... Tetap tiada balasan dari Najman.

Ah.. Sudah. Apa hal pulak mamat ni? Kereta dia ada. Tapi kenapa tak reply lagi ni? Dah la kunci kita ada satu jer tu. Kalau ada kunci spare, memang tak ada la nak WhatsApp dia malam – malam ni!

Baru mata mahu terlelap, deringan telefon menyegarkan kembali mata Orked. Pantas tangannya mencapai telefon di atas bantal sebelah.

'Jiran sebelah rumah'

Melihatkan nama pemanggil yang menelefon, laju saja ikon hijau itu dicalit.

“Awak! Lama betul saya tunggu. Saya nak kunci la.”

“Wa’alaikummusalam.” Orked ketap bibir. Tersindir!

Mata mengerling jam di dinding, hampir satu pagi! Ok.. Tengah malam dapat pendidikan moral dari cikgu sebelah rumah!

Helaan nafas dilepaskan perlahan. Dengan rasa bersalah, “Assalammualaikum. Sorry tadi.” Orked terasa pipinya panas.

Sekali lagi Najman menjawab salam. Kali ini suaranya tak sekeras tadi. Lembut menyapa cuping telinga Orked.

“Sorry dear. Saya baru sampai rumah. Tadi dalam bas tak dengar bunyi telefon.” Terang Najman tanpa Orked bertanya.

Er.. Bas? Maknanya dia tak ada kat rumah? Adeh. Dosa kering kau hari ni Orked! Desis Orked.

“Rombongan sekolah?” Soal Orked dengan perasaan bersalah.

“Tak. Lawan volleyball. Dah tu bas rosak tengah jalan. Tu yang lambat sampai.”  Ujar Najman. Suaranya bersungut berbaur lelah. Penat la kut.

Ooo.. Jurulatih sekolah!

“Keluar kejap dear. Ambil kunci.”

“Ok.” Jawab Orked sambil mencapai sehelai shawl. Dililit ala kadar. Sekadar menutupi rambut dan dadanya. Shawl yang sedia ada di balik pintu. Kain panjang yang biasa dia gunakan untuk keluar rumah, jemur pakaian. Bungkusan kiriman Najman juga dibawa sekali. Senang. Sekali harung!

Ketika Orked menolak daun pintu, Najman sudah menanti di tepi pagar sebelah. Masih berbaju sukan. Cuma kasutnya sudah digantikan dengan selipar.
Orked memandang Najman yang disimbahi cahaya lampu. Wajah itu jelas kelesuan.

“Nah, ni barang awak kirim.” Huluran bungkusan itu hanya berlaku di pagar yang tidak terlalu tinggi itu. Ukuran standard pagar rumah teres.

“Berapa ni?” Soal Najman bila dia menyambut plastik sederhana besar itu.

“Tak payah. Saya belanja. Sebab tolong tukar bateri kereta.” kata Orked.

“Serius?” Orked mengangguk laju. Menyakinkan Najman.

“Betul ke ni?” Tanya Najman lagi. Masih tak percaya agaknya. Bulat matanya merenung Orked.

“Betul la. Nak kunci.” Orked menadah tapak tangan. Kunci kereta Orked sudah diserahkan kembali kepada pemiliknya.

Sekali lagi Orked mengucapkan terima kasih. Najman membalas dengan senyuman.
Dan sekali lagi aset mahal Cikgu itu terserlah.

Plhew.. Siapa pelakon Malaysia yang dagu terbelah? Kalau ada pun tak boleh lawan dagu runcing lagi terbelah si Najman. Memang jambu habis Cikgu PJ ni!

“Dear, masak tak? Lapar la.”

Hah? Ini dikira minta makanan ke ni?

“Kalau masak lebih, jangan kedekut untuk kongsikan dengan jiran. Sama-sama merasa. Biar rezeki tu lebih di kemudian hari.”

Pesanan itu melintasi di gegendang telinga Orked. Suara mak di kampung singgah menyapanya.

“Saya masak bihun sup jer. Tak apa ke?”

“Boleh jer. Lapar sangat dah ni. Dah la kalah tadi. Bas rosak pula. Tak sempat nak singgah mana-mana. Malam sangat dah.” Sungut Najman.

“Kejap saya panaskan. Awak pergi la mandi dulu. Nanti dah siap saya telefon.”Ujar Orked sebelum berlalu meninggalkan Najman di situ.



Telefon yang berbunyi memaksa Orked bangkit dari pembaringan. Berlalu ke meja solek. Ikon WhatsApp disentuh.

Jiran sebelah rumah.

Dear.. Betul ke bihun sup ni?
Kenapa warna kuning? Ada eh bihun warna kuning? 
Lepas tu sambal merah. Bukan sambal kicap.

Pasai pa la Cikgu ni suka buat kita rasa cemuiiiih? Tadi kata lapar. Makan jer la orang bagi tu. Haiiih..

Bihun sup utara memang la lagu tu.
Awak makan jer la. Saya tak letak racun la!

Orked menghenyak punggung ke tilam. Matanya sudah mengantuk benar. Tapi mesej dari Najman menghangatkan hatinya tiba-tiba. Laju tangannya menaip. Send!

Tau tadi tak payah bagi! Orang dah kasi dia banyak cekadak pulak! Cemuihhh!!!

Tak baik Orked. Mengungkit namanya tu. Orked menggeleng kepala. Meluruskan badannya. Ikatan rambutnya sudah dilucutkan. Sambil berbaring mengiring, mesej Najman dibaca.

Laaa.. Saya tanya jer la. Tak pernah makan. Dear, saya tengah makan la ni.
Saya tak ragu pun. Sedappp!

Huh! Nak beli jiwa la tu! Sorry, kita tak jual! Bibir Orked mencebir.

Mesej Najman itu dibiarkan tidak berbalas. Kelopak mata yang sudah layu mudah saja terkatup. Gelap gelita pandangan. Letih menempuh perjalanan jauh siang tadi masih terasa, memudahkan Orked lena. Namun tidur yang baru saja mahu dinikmati, terganggu dengan bunyi telefonnya.
Bukan bunyi mesej tapi deringan. Panggilan telefon!

Teraba-raba Orked dalam cahaya yang suram. Mencari telefon di ruang kosong di sebelah. Terus saja dia menjawab panggilan apabila tanyanya bertemu dengan gajet itu. Dia memang tak boleh dengar bunyi telefon di tengah malam. Bimbang kalau-kalau anggota lain-lain pangkatnya yang menghubunginya. Takut ada perkara penting yang mahu dilaporkan. Hari ni Leading Zul yang bertugas malam. Dia tahu.. Dia sudah melihat jadual tugas mereka.

“Hello, Assalammualaikum.” Jelas kedengaran suara Orked yang serak.

“Waalaikummusalam. Dear tidur ke?”

“Awak?” Darah Orked terus naik ke kepala.

“Awak tau tak dah pukul berapa? Saya nak tidur  tau! Esok saya ada urusan di Tanjung Pengelih.” Orked tiba-tiba naik angin. Memang dia marah sungguh!

Lantak la.. Ingat kita ni macam dia agaknya. Setakat ajar PJ apa yang susah sangat? Bukan Cikgu sejarah atau sains. Sebab tu, dia ada banyak masa!

JB ke Tanjung Pengelih tu jauh tau tak?  Dua jam perjalanan juga walaupun dah ada highway Senai-Desaru. Kan dah cakap tadi, esok nak keluar awal. Bermaksud kita ni nak tidur awal la!

“Dear.. Sorry. Saya ingat awak tak reply WhatsApp sebab awak marah saya tadi. Rupanya awak dah tidur eh dear?” suara Najman di hujung talian membuatkan Orked besar mata. Tangannya menggengam sarung bantal. Geram!

What the...

Bibirnya diketap kuat. Bimbang dia akan terkurang ajar dengan Najman. Dia.. Bila marah, dia akan lantunkan kemarahannya. Dia akan luahkan semua.

“Cikgu Najman, saya nak tidur. Dah lewat sangat ni.” Suara Orked yang tadi tinggi sudah sedikit kendur. Tak kuasa mahu melayan Najman. Cikgu PJ yang ramah tamah tak bertempat!

“Ok dear. Sweet dreams!”

Tengok tu .. Selamba. Tanpa rasa bersalah! Orked mendongkol geram.



Najman meninjau di luar, memerhati kereta Orked yang sudah memasuki halaman sebelah. Tidak semena bibirnya pecah senyum sendiri. Dari birai tingkap itu jelas dia dapat melihat leftenan itu berbaju seragam. Wajahnya masam!

Pasti ada yang tak kena hari ni. Bisik hati Najman. Matanya hanya mencuri pandang Orked yang sedang mengatur langkah.

Kena marah dengan orang atasan ke?

Sudah sebulan mereka berjiran. Selalunya bila balik kerja tak ada pula Orked buat muka begitu. Entah apa yang terjadi dengan gadis itu agaknya. Memang lain benar wajahnya hari ini.

Nak mesej sekarang ke kemudian ek?

Berkerut-kerut dahi Najman berfikir. Telefon dipegang, sesaat kemudian dia meletakkan kembali di atas meja.

Mesej sekarang.. Muka orang tu dah la masam mencuka. Karang dia naik angin lagi pulak. Malam semalam dah naik angin. Agaknya tentera memang gitu kot. Angin kus-kus!

Ah.. Mesej saja la. Awal lagi. Nanti dia dah masak, membazir pulak!

Najman mengambil semula telefonnya. Jarinya mula mencari 'Cik Leftenan'. Kemudian mesej dirangka.

Dear..
Keluar kejap. Nak pulang bekas awak ni.

Diulang baca semula sebelum simbol 'send' itu disentuh. Terus dia berlalu ke dapur, mahu mengambil bekas tupperware milik Orked semalam. Apabila dia muncul kembali di ruang tamu, Orked sudah menghantar balasan. Dia sudah menunggu di tepi pagar. Cepat saja kaki Najman melangkah.

Benar, Cik leftenan itu sudah menanti. Pakaian seragamnya juga sudah berganti. Dia hanya menyandar, sambil tangannya memegang telefon di tepi telinga. Najman dengar dengan jelas apa yang Orked sedang cakapkan. Dan dia..berdiri tegak terus memasang telinga.

“Ok la duduk sini. Dekat dengan bandar. Bila nak mai sini?”

Orked terangguk-angguk perlahan, mendengar bicara di hujung talian.

Oh.. Memang dia orang utara. Patut la dia masak bihun sup orang sana semalam.

Orked tertawa mesra, “Rindu. Rindu laut! Wei ok naa, nanti call lagi. Cheq jumpa orang sat!” Orked terus tamat perbualan apabila sedar Najman sudah berdiri di pagar sebelah.

“Orang utara?” Bebola mata Najman bersinar menatap mata Orked. Asam kecut di muka Cik leftenan sudah tiada lagi.

“Ha'ah. Alor Setar.”

Mood dia ok la  ni. Boleh senyum tu... Adik beradik dia kut yang telefon tadi.

“Nah, bekas awak. Terima kasih.”

Orked menyambut bekas di dalam plastik itu.

“Isi apa ni?”

“Mana ada apa-apa.” Dalih Najman. Tapi apabila dagu terbelah itu kelihatan, Orked tahu.. Cikgu ni tak mengaku!

“Iya jelah tu. Berat.. ada isi ni.” Bercantum kening Orked apabila berkata begitu. Namun Najman hanya beriak biasa. Senyuman yang melebar itu makin membelah dagu runcingnya.

“Ala.. Biasa jer. Kalau tak sedap tak payah puji tau!”

Eh? Poyo Cikgu ni! Sah, memang sengal!

“Kalau dah tak sedap, memang tak la nak puji!”

Najman ketawa kecil bila bibir Orked menceber.

Comel! Ah.. Kau ni Najman. Sejak bila la kau jadi macam ni?

“Anyway thank you tau!” Ucap Orked lagi.







































Post a Comment