Tuesday, December 20, 2016

Untaian Kasih Buat Humayra

Bab 6




“Kau masih tunggu dia?” Pergerakan jari Aisyah terhenti.
Dia tidak  berpaling tapi terus mengangkat tangan menadah doa. Nadra hanya memerhati. Perlahan-lahan punggungnya dilabuhkan di sebelah Aisyah yang masih bertelukung itu.
Doa-doa Aisyah langsung tidak didengari. Gadis itu lebih selesa berdoa di dalam hati.
“Kau doa apa?” Bibir Aisyah tersenyum nipis bila Nadra melontarkan soalan lagi.
“Doa untuk semua orang. Mummy. Arwah daddy. Diri sendiri. Hilman. Abang Vincent sekeluarga. Untuk Nadra Aqilah...”
“Khyr Najmi?”
“Ya, dia termasuk di dalam doa aku.” Perlahan saja suara Aisyah. Tak guna menipu Nadra. Memang sepotong doa untuk si pemilik nama itu.
Nadra mengambil tasbih yang terdampar di atas sejadah ungu itu. Jari runcing  gadis itu menyentuh setiap butir mutiara itu.
“Kau masih tunggu dia kan?” Sekali lagi Nadra bertanya. Tadi ketika dia berdiri di muka pintu bilik Aisyah, mata dia terpandangkan gadis itu sedang berzikir. Seutas tasbih utuh di tangan kanannya. Dia tahu dari mata datangnya tasbih putih itu.
“Tunggu?” Aisyah menggeleng.
“Tak ada istilah tunggu. Aku hanya menghargai pemberian dia. Aku gunakan dari dulu hingga sekarang. Aku yakin ada ganjaran buat dia andai aku tetap menggunakan tasbih tu.”
“Itu aku pun tau. Maksud aku, hati kau tu.. masih ada dia?”
Aisyah tergelak.
“Hati ini bukan milik sesiapa selain Allah.”
Nadra ketap bibir. Bengang bila Aisyah menjawab selamba begitu.
“Nad.. kami hanya berkawan. Dari dulu tak ada perkataan cinta yang terbit dari mulut kami. Kami selalu bersama sebab saling menghargai erti sebuah persahabatan...”
“..tapi kenapa dia hilang begitu saja?”
Kepala Aisyah tertunduk.
Hilang?
Siapa yang menghilang?
Siapa yang menjauh?
Kelopak mata Aisyah terpejam.
“Sudah aturan Allah begitu.”
Biarlah Nadra tak tahu. Cukuplah dia tahu tasbih ini milik Khyr. Nadra tiada di masa lalu kami. Dia tak perlu tahu semuanya.
Nadra terdiam bila Aisyah menyambung lagi, “Takdir kita ni Nad, Allah dah tulis kat atas langit biru. Setiap huruf sudah lama tercatat. Sehinggakan setitik noktah dalam kehidupan kita pun sudah ada. Cuma.. kita tak pernah tau.”
Sejadah dan telukung yang telah dilipat, dibawa ke tempat asalnya. Nadra masih di situ, mencerna setiap kata-kata Aisyah tadi.
Tiba-tiba dia teringat seseorang yang dikhabarkan sedang tenat di hospital.  Adakah ini takdir atau kifarah  buat diri dia? Gumam Nadra.
“Jom, Nad. Mummy dengan Hilman dah sampai agaknya. Boleh kita makan sama-sama.” Terus Nadra bangkit untuk mengikuti jejak langkah Aisyah.


“Ni beg apa Syah?” Beg yang sedang diangkat oleh Puan Hidayah itu dipandang sekilas. Kaki yang sedang menekan pedal mesin jahit itu terhenti. Senyap terus bunyi kasar yang memenuhi ruang itu tadi.
“Oh, abang Vincent kasi siang tadi. Syah lupa pulak nak tengok apa ada dalam tu.”
“Vincent dah balik ke?” Soal Puan Hidayah seakan tidak percaya.
“Aah mummy. Pagi tadi dia datang. Mummy dah pergi kelas. Mummy tengoklah apa yang dia beli. Syah nak habiskan kerja ni kejap.” Mesin jahit industri itu bergema lagi. Fokus Aisyah kembali kepada kain yang sedang dicantum. Pasangan bajunya sudah siap sedari tadi, Cuma kain susun belakang saja yang sedang dijahit.
“Haihh, budak bertuah ni.. berapalah yang agaknya dia habiskan semata-mata beli kain sutera ni? Lembutnya Syah.. kain sejuk ni.”
Puan Hidayah membelek kain sutera yang berwarna kelabu berbunga merah jambu terang. Tangannya menyeluk lagi. Sepasang lagi kain bercorak dan dari material yang sama kelihatan.
Seperti biasa Vincent akan membelikan mereka dua beranak benda yang sama.
Bibir Puan Hidayah menyimpul senyum. Pandai anak bujang tu pilih kain. Mummy suka! Puji Puan Hidayah dalam senyap.
China sememangnya terkenal dengan sutera. Walaupun banyak negara menghasilkan sutera, tapi tidak setanding sutera dari negara China. Mereka masih lagi menguasai kedudukan teratas dalam penghasilan kain sutera.
Itulah yang pernah diberitahu oleh Vincent kepada Aisyah dan Puan Hidayah. Oleh itu, saban kali Vincent ke negara tembok besar itu, pasti kain sutera gred A yang dijadikan buah tangan untuk dua beranak itu.
“Syah, nanti jahitkan mummy jubah tau.”
“Amboi, mummy ni. Dan-dan nak suruh jahit.” Puan Hidayah tergelak. Kain yang sudah siap dijahit itu, diambil dari tangan Aisyah.
Tak perlu si anak meminta bantuan, Puan Hidayah sudah mula menyediakan kancing kain untuk dijahit tangan. Aisyah hanya membiarkan saja Puan Hidayah menjahit kancing kain tersebut.
“Ala, bukan malam ni. Esok ke lusa ke Syah potonglah kain sutera tu. Bolehlah mummy pakai pergi jemputan kahwin hujung bulan depan.” Balas Puan Hidayah seakan memujuk si anak.
Aisyah sudah memanaskan seterika. Botol spray yang berisi air itu mula dipicit. Sedikit basah baju kurung moden yang telah dihamparkan di atas papan penggosok. Perlahan-lahan Aisyah melalukan seterika panas itu di atas baju tersebut.
Bermula dengan bahagian bahu, diikuti pula bahagian tangan. Kemudian tangan Aisyah membawa pula seterika itu ke bahagian badan. Setiap bahagian cantuman jahitan itu ditekan dan digosok agak lama untuk menghilangkan kedut jahitan.
Usai di bahagian depan, Aisyah menterbalikkan  baju itu. Kemudian dia memulakan  semula untuk bahagian belakang. Setelah siap, digantungkan baju itu. Kain yang dihulurkan oleh Puan Hidayah pula digosok licin.
“InshaaAllah, mummy. Kain untuk bulan ni pun dah siap semua. Esok Syah nak  ke pejabat pos. Nak pos baju-baju ni pada tuannya balik. Mummy nak ikut?” Pelawa Aisyah.
“Berjalan, sapa yang tak nak?” Aisyah ketawa saja apabila Puan Hidayah berseloroh begitu.
“Nanti dah selesai pos semua barang tu, kita pergi rumah aunty boleh? Mummy dah lama tak jumpa kakak ipar mummy tu. Entah sihat, entah kan tidak.”
Aunty.. maksudnya ibu kepada Vincent. Mak saudara Aisyah yang berlainan agama dengan mereka itu.
“Boleh, my. Nanti kita pergi ke sana ya.”
Puan Hidayah tersenyum puas  apabila Aisyah sudi mahu membawa dia pergi berjumpa dengan kakak iparnya itu. Hampir sebulan dia tidak bersua dengan wanita sedarah sedaging dengan arwah suaminya.
Hubungan rapat mereka sejak dulu tiada masalah meskipun satu-satunya adik lelaki wanita itu sudah menukar agama. Ketika ibu bapa mertuanya masih ada pun, mereka tetap melayan Puan Hidayah dengan baik.
Apatah lagi setelah Aisyah lahir ke dunia. Cucu perempuan tunggal itu sangat disayangi oleh datuk dan neneknya itu. Mertua Puan Hidayah kerap mengambil Aisyah bermalam di rumah mereka.
Ternyata pemikiran terbuka keluarga arwah suami Puan Hidayah itu, langsung tiada cacat celanya dalam hubungan kekeluargaan mereka.
Yang berbeza cuma pegangan agama. Darah yang mengalir tetap sama merah. Susur galur masih  dari yang sama. Nama keluarga Lee tetap dibawa ke anak cucu. Jadi, permusuhan antara dua keluarga itu tidak pernah berlaku, meskipun insan-insan penting di dalam hidup mereka telah meninggal dunia.



















2 comments:

♥cikredjambu♥ said...

Dah boleh bayangkan kelembutan dan kecantikan kain sutera tue....hahaha

Aina Hamra said...

Amboi! Tapi sutera China memang berkualiti. Huhu..