Friday, December 16, 2016

Untaian Kasih Buat Humayra

Bab 5



Lama Aisyah termenung, satu persatu cerita Nadra singgah di telinganya. Semuanya cuba dihadam sebaik mungkin. Sudah dijangka, Nadra sedang bermasalah. Kalau tidak Nadra takkan menemui Aisyah dengan tiba-tiba begini.
Berat juga masalah Nadra ni... Desis Aisyah perlahan.
“Pendapat kau macam mana, Syah?”
“Hurm.. Pergi ajelah tengok dia.”
“Aku tak boleh. Hati ni masih sakit. Hati aku ni dah kosong. Aku dah buang dia dari hidup aku.” Air mata Nadra mula memenuhi kolam matanya. Sebak mula mencengkam hati Aisyah melihat Nadra begitu.
“Mak cik aku suruh balik jugak. Dia cakap, biarlah kita mengalah. Jangan orang cakap kita ni jahat.” Aisyah memaut bahu Nadra. Perlahan-lahan tangan kanannya mengusap bahu itu. Menenangkan perasaan gadis itu.
“Habis, kau nekad tak nak balik?” Nadra menggeleng.
“Kalau aku balik sebab terpaksa buat apa? Aku tak ikhlas nak pergi. Hati ni dah tak tau ikhlas tu apa?” Aisyah hanya memerhatikan tapak tangan yang menepuk dadanya sendiri. Pipi gadis itu sudah mulai basah dengan air mata.
“Tapi dia tenat, Nad...”
“Orang banyak buat dosa..”
“Astagfirullah.. Tak baik cakap macam tu, Nad. Kalau dia berdosa, kau jangan turut buat dosa.” Air mata yang menitis lagi, Nadra seka dengan kasar. Dia seakan tak rela mutiara jernih itu jatuh lagi untuk orang yang telah mensia-siakan dirinya.
“Kau tak tau betapa hari-hari aku berada di dalam ketakutan. Kau tak pernah tau sepasang mata ni, telah melihat kekasaran dia. Kau takkan tau apa yang mak aku tanggung selama bersuamikan dia.” Gendang hati Aisyah dipukul kuat. Dadanya makin mengetat. Tangannya kuat menggenggam tangan Nadra.
“Ni... telinga ni.. setiap hari dipasak dengan kata-kata makian dari dia!” Akhirnya Aisyah menarik tubuh Nadra ke dalam dakapnya. Air mata Aisyah tumpah sama banyak dengan  air mata  Nadra.
“Syyyhh..” Tiada kata-kata yang terzahir dari bibir Aisyah untuk memujuk Nadra. Akhirnya dia hanya menepuk dan mengusap perlahan belakang badan Nadra.
Hatinya turut sedih mengenangkan kisah pilu Nadra itu. Patutlah Nadra selalu saja kelihatan ceria. Tapi ianya sekadar menutup luka dan duka hati sendiri.
Aisyah tahu Nadra membesar tanpa ayah dulu. Ibu dan ayah Nadra bercerai ketika Nadra masih kecil. Tapi Aisyah tak pernah pula tahu  pengalaman hidup temannya itu.
Allah, pahit sungguh pengalaman  yang Nad tempuh rupanya. Desis Aisyah dalam hati.
“Nad.. menziarah orang sakit tu sunat mu’akkadah. Tak semestinya hanya untuk kaum keluarga kita sendiri. Betul dia pernah berlaku kejam pada kau dan ibu kau. Tapi tak ada dia, kau tak lahir Nad. Nikah kau pun dia yang akan walikan. Itu tandanya hubungan seorang anak dan ayah takkan pernah putus. Walaupun ibu kau dengan dia dah lama bercerai. Pergilah tengok sebelum terlambat.”
Nadra yang masih lagi berada dalam dakapan Aisyah, hanya diam tidak bergerak. Air matanya mengalir lesu tanpa diseka lagi.
“Kalau kau nak pergi, aku boleh temankan.” Pujuk Aisyah lagi.
Aisyah tak mahu Nadra menyesal seumur hidup nanti. Memang pahit kenyataan yang ingin ditelan, tapi lelaki itu masih lagi punya hubungan dengan Nadra. Nadra terhutang budi kerana lelaki itu yang menyebabkan dia lahir ke dunia.
“Kau nak tau tak Nad? Kalau kita menziarah orang sakit ni besar ganjarannya tau.” Aisyah teringat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At- Tirmizi, Ibnu Majah &Ahmad. Sabda Nabi SAW yang bermaksud;
“Apabila seorang lelaki mengunjungi saudara muslimnya, maka seolah-olah dia berjalan di dalam syurga sehingga dia duduk. Apabila sudah duduk maka rahmat Allah mengelilinginya. Jika dia berkunjung pada waktu pagi, maka tujuh puluh ribu malaikat akan mendoakannya hingga petang dan begitulah sebaliknya.”
Namun Nadra hanya kaku di situ. Aisyah mengintai sedikit muka Nadra. Matanya terpejam rapat. Hati Aisyah sudah berdetik. Pengsan ke cik kak ni?
“Nad.. Nad..” Pipi Nadra ditepuk  perlahan. Nadra tidak bergerak. Tapi dadanya berombak perlahan. Masih bernafas!
Ada dengkuran halus menyapa gegendang telinga Aisyah.
“Cis, dia tertidur? Penat aku bagi ceramah!”Kepala Aisyah tergeleng-geleng.
Nadra terlalu penat memendam perasaan. Teman baiknya itu cuba berlagak kuat tapi akhirnya dia lelah. Air mata yang yang terlalu mahal untuk dibazirkan melemahkan jiwa dia hari ini.
Perlahan-lahan Aisyah merebahkan tubuh Nadra di atas sofa yang mereka duduk. Kaki Nadra diluruskan. Penuh ruang sofa itu dengan tubuh kurus tinggi gadis itu.
“Aik? Datang rumah orang hanya untuk tidur ke?” Aisyah berkalih.
Hilman sudah tercegat memandang Aisyah yang sedang membetulkan kedudukan Nadra itu.
“Afiq Hilman, tak baik cakap gitu. Kakak tak suka! Nadra tak sihat. Biar dia tidur kejap. And you.. please go away. Nak tengok TV sila bersantai di bilik sendiri.”
“Tak sihat? Kenapa dia tak pergi klinik?” Berkerut dahi Hilman menyoal. Arahan Aisyah tadi dibiarkan berlalu.
“Jiwa dia yang tak sihat sekarang ni. Dia stress. Dah-dah pergi naik atas. Tak manis tengok anak dara orang tidur.”  Belakang tubuh Hilman ditolak oleh  Aisyah. Namun tolakannya tidak kuat hingga boleh membuatkan Hilman menyungkur.
“Eh, Adik nak pergi ambil mummy la. Petang sikit nak ke studio.”
“Oh, patutlah smart  semacam...”
“...well... Hilman Lee ni kan? Photographer idaman semalaya.”
“Perasan! Dah pergilah cepat.”
Hilman berlalu dengan tawa yang masih lagi tersisa. Suka benar dia mengusik Aisyah.  Apatah lagi kakaknya itu suka mencebikkan bibir bila dia berura-ura berlagak seperti tadi.
Aisyah akan kelihatan manja dengan cara dia tersendiri!




4 comments:

Unknown said...

Mcm nk jatoh ati kt hilman la..

Aina Hamra said...

:p jaga-jaga,

♥cikredjambu♥ said...

ERRRKKK...Nakk hilman lee boleh tak??
semakin menarik...

Aina Hamra said...

Wakakakakkakakakakkak... Handsome tau Hilman Lee tu. :P