Friday, June 3, 2016

Setitis Kasih Selaut Sayang

Bab 2




Panggilan telefon dari seorang cikgu perempuan yang memperkenalkan dirinya Jasmine itu membuatkan Irfan termenung. Cikgu Nana itu meminta dia datang ke sekolah, Nana si bongsu itu datang bulan kali pertama di sekolah.
Malah Nana sedang menangis-nangis kerana bajunya sudah terkena darah. Dan, Nana mahukan dia!
Mak, apa yang patut abang lakukan? Abang tak tahu macam mana nak ajar Nana.
Nini, tolonglah abang. Nana menangis. Adik kita sedang ketakutan agaknya.
Ayah, anak bongsu ayah sudah baligh hari ni. Tapi, abang tak tahu nak uruskan Nana tika ini.
Lama Irfan memejamkan mata. Setiap luahan hatinya tiada jawapan dari mereka yang diseru. Bagaimana mereka mahu membantu Irfan, sedang mereka tiada di sisi?
Allahurabbi.. Tapak tangannya meraup muka sendiri. Kunci motor di atas meja dicapai, topi keledarnya disauk sebelum punggungnya bangkit dari kerusi. Berjalan terus meninggalkan bilik itu.
Melewati beberapa orang pembantu yang sedang membuat kerja masing-masing, Irfan sempat meninggalkan pesan.
“Saya keluar kejap. Nak tengok Nana.” Wanita separuh umur itu hanya menganggukkan kepala.
Teringatkan pesanan Cikgu Jasmine, Irfan melangkah masuk ke kedai runcit yang bersebelahan dengan kedai dobi milik keluarganya.
Kakinya terus menuju ke rak yang menempatkan keperluan wanita itu. Berdiri tegak sambil memerhatikan setiap bungkusan berwarna warni itu. Irfan mengaru kepala sendiri, kekeliruan sedang melandanya.
Yang mana satu nak beli? Bisik hatinya.
Dibelek satu persatu. Bukan setakat pegang, malah dia membaca setiap perkataan yang tertulis di bungkusan itu. Sudahnya Irfan mengambil keputusan untuk membelikan Nana tuala wanita yang berjenama Libress!
Abang tak tahulah ok ke tidak ni Nana. Abang beli saja!
Usai membayar, Irfan pulang ke rumah pula. Baju Nana harus dibawa sekali. Jam dikerling, sudah hampir ke waktu rehat. Bermakna, tak lama lagi akan tamat waktu pembelajaran Nana pada hari ini. Irfan hanya mengambil seluar tracksuit dan tshirt sukan lengan panjang milik Nana.
Eh, kalau baju sekolah Nana terkena darah, pastilah seluar kecil Nana pun basah dengan darah. Fikir Irfan sendiri.
Irfan memasuki bilik Nana semula.
Almari baju Nana dihampiri, terus saja tangannya menarik laci ke dua. Ah, dia yang mencuci baju. Dia yang melipat baju malah dia yang menyusunnya di dalam almari dan laci, pastilah dia tahu dia mana letakkannya pakaian dalam si adik!
Semua keperluan Nana dia masukkan ke dalam beg. Pintu dikunci, dan pagar rumah di mangga. Laju kakinya melangkah menuruni tangga. Hatinya sangat tidak tenteram! Fikirannya teringatkan Nana!

Mujur jugalah sekolah Nana tidak jauh dengan rumah. Sekolah Kebangsaan Taman Suria itu hanya mengambil masa kurang daripada sepuluh minit dari rumah mereka.
“Assalammualaikum, pakcik.” Tegur Irfan.
“Waalaikummusalam.”
“Pakcik, Cikgu Jasmine suruh saya masuk terus ke kelas 5 Bistari. Nak hantar barang adik saya.” Beg kertas yang berisi baju Nana diangkat tinggi supaya pak guard itu nampak.
“Oh, Cikgu Jasmine. Cikgu baru tu ya.”
Irfan mengangguk.
“Tahu kelasnya?” Soal jaga itu lagi.
“Tahu. Sebelah situ.” Tunjuk Irfan ke arah kanan. Bangunan yang hanya setingkat, tapi mempunya dua blok bangunan.
“Ha.. Betullah tu. Pergilah. Tapi jangan lama-lama. Takut guru besar round pula, pakcik yang kena marah.” Pesan lelaki yang membahasakan dirinya pakcik itu.
“Ya, pakcik.”
Terus saja, Irfan berjalan laju. Kelas Nana dituju terus. Langsung dia tidak memandang kiri dan kanan. Sampai saja di pintu kelas 5 Bistari, Nana sudah meluru mendapatkan Irfan. Benar kata Cikgu Jasmine. Nana sedang menangis seperti orang takut!
“Nana, kenapa ni dik?”
“A..abang, ba..ju Nana ada da..rah!”
Perilaku mereka dua beradik itu menuntun hati Jasmine yang melihat. Dia mendekati mereka. Hatinya jatuh kasihan melihat mereka.
Bagaimana si abang mahu mengajar Nana yang baru pertama kali datang bulan?
“Encik Irfan, bawa baju?” Soal Jasmine.
“Bawa. Tapi saya bawa T-shirt sukan aja cikgu.” Jawab Irfan. Tangannya mengelus kepala Nana yang bertudung.
“Tak apa, sejam dua lagi nak balik dah. Saya ajak Nana ke tandas dia tak mahu. Dia sanggup berdiri daripada duduk.” Irfan tersenyum nipis. Dipandang sekilas adiknya.
Nana.. Dengan orang yang tak biasa, dia memang sangat susah untuk bermesra!
“Dia memang macam tu.” Beritahu Irfan.
“Err.. Encik Irfan beli yang saya pesan tadi?”
“Beli, tapi macam mana saya nak ajar Nana? Saya tak reti!” Jujur Irfan menyuarakan suara hati. Jasmine mengetap bibir. Ya, itu yang dia terfikir tadi.
“Nana, mari ikut cikgu. Kita pergi bilik air.” Nana memeluk erat Irfan kepalanya disembunyikan di sisi pinggang Irfan.
“Adik, adik ikutlah cikgu. Nanti cikgu tolong adik.” Perlahan Irfan memujuk. Namun Nana tetap tidak berkalih. Malah semakin erat dia memeluk.
“Tak..tak nak! Na..Nana nak a..abang te..teman.”
Allah, Nana...
Hanya itu yang terdetik di hati Irfan. Matanya memandang Jasmine. Berharap sungguh cikgu itu sudi membantu dia.
Mak, abang bagaikan mahu menangis! Abang tak tahu nak uruskan Nana dengan keadaan begini!
Jasmine yang melihat Irfan seperti tersepit, bibirnya lancar saja bersuara.
“Nana sayang, bilik air perempuan; orang lelaki tak boleh masuk. Nana kan perempuan, abang Nana kan lelaki.” Nana mendongak memandang Irfan bila Jasmine berkata begitu. Irfan hanya mengangguk tatkala mana Nana bertemu dengan matanya.
“Nana, hari ni Nana dah besar tau. Abang dah tak boleh mandikan Nana lagi. Nana kena belajar uruskan diri Nana sendiri. Lebih-lebih lagi, seperti hari ni.”
“Be..besar?” Soal Nana lagi. Kata-kata Jasmine itu membuatkan hati Irfan terdetik sesuatu. Bagaimana Cikgu Jasmine tahu dia yang mandikan Nana?
“Ya sayang, hari ni Nana datang uzur kali pertama. Itu bermakna, Nana sudah baligh. Jadinya, Nana kena jaga aurat Nana. Nana tak boleh biarkan abang tengok diri Nana lagi. Abang tak boleh tolong Nana pakaikan Nana baju dan seluar lagi. Nana kena buat sendiri.” Ujar Jasmine.
Nana sekali lagi memandang Irfan. Abangnya itu bagaikan kelu lidah untuk menyampuk. Dia hanya mendengar sedari tadi. Bicara Jasmine menusuk ke hatinya. Benar, Nana baligh hari ini.
Bermakna dia tak boleh membantu Nana lagi. Mustahil untuk dia memakaikan adiknya tuala wanita.
Mata Irfan terpejam seketika.
Mak, Irfan tak kisah membanting tulang untuk adik-adik abang. Tapi abang terlalu risaukan hal ini. Ayah, bagaimana kalau Nana tak mampu menguruskan dirinya tika haid menjelma?
Nini... Bantulah abang!
“Boleh tak Nana ikut cikgu? Cikgu akan ajar Nana.” Mata bulat Nana terus merenung Jasmine. Nana tak mampu buat keputusan! Sekali lagi dia membuang pandangan pada si abang.
Irfan menurunkan badannya. Mencangkung di hadapan Nana.
“Nana, abang sayang Nana. Tapi abang tak boleh terus ajar Nana semua perkara. Nana ikut cikgu ya? Balik nanti kita pergi makan ABC. Nana nak tak?” Irfan seakan memujuk Nana.
“Ke..na..pa.. A..abang tak..bo..leh a..jar Na..Nana?”
“Sebab abang tak pandai. Nana belajar dengan cikgu ya?” Pipi Nana disentuh. Mata Nana seakan digenangi air.
Ya, Irfan tahu. Nana mahu dia yang mengajarnya. Tapi bagaimana? Dia sendiri tak tahu!
“Du..lu.. Ka..kak?”
Allah!
Irfan bagaikan mahu terduduk! Nana mempersoalkan Nini. Pasti dia mahu bertanya tika Nini mengalami haid kali pertama dulu, siapa yang mengajar si Kakak?
“Dulu, kan mak kita ada. Mak yang ajar kakak.” Air mata Nana tumpah. Begitu juga Jasmine! Sedari tadi dia cuba menahan, tapi air matanya degil!
“Syhhh, Nana ada cikgu. Cikgu akan ajar Nana. Cikgu janji sayang! Cikgu akan tolong Nana.” Jasmine tanpa segan memeluk Nana. Irfan terkaku. Sungguh dia tidak menyangka Nana akan menjadi begitu sensitif!
Nur Hana, kalaulah Irfan Qusairy ini seorang perempuan, tak akan kubiarkan orang lain yang mengajarmu soal pengurusan dirimu sendiri!
P/s: Tq 4 ur reading! 
Jangan lupa komen.

4 comments:

Unknown said...

Tq Aina Hamra...touching dear..kesiannya...

Aina Hamra said...

😉 tq kak.

belladaud said...

Tak terluah ngan kata2...biar mata n hati berbicara...huhuhu

Aina Hamra said...

Thanks dear!