Tuesday, January 12, 2016

Setitis Kasih Selaut Sayang

Bab 5





Masuk hari ini, sudah hari kedua Nana uzur. Irfan perhatikan saja apa yang Nana lakukan. Tuala wanita yang digunakan guna Nana yang kendalikan sendiri. Malah dia setiap kali keluar dari bilik air, Nana akan membawa bungkusan kecil. Dan dia akan membuangnya ke dalam tong sampah!
Dalam hati Irfan mengucap syukur. Nana faham apa yang cikgu dia ajarkan. Sesungguhnya dia berterima kasih pada Jasmine kerana sudi menunjukkan Nana cara yang betul. Dan hari ini sepatutnya Irfan melancarkan rancangannya. Nana perlu diberitahu agar adiknya itu boleh ke rumah Jasmine, untuk cikgunya itu mengajar tentang mandi hadas tersebut.
“Nana, hurm.. abang nak cakap sesuatu.” Nana yang sedang menonton televisyen itu menoleh.
“Ca…kap apa?”
Hati Irfan berdebar-debar. Nafas ditarik dalam sebelum menyambung bicara.
Nana, dulu abang kerja dekat mana?”
“Hurm..kat KL.”
“Pandai adik abang. Err, esok abang kena pergi KL.” Luah Irfan perlahan.
Mata bening Nana ditatap. Irfan tak pasti tindakannya ini dapat diterima oleh Nana ataupun tidak.
“KL?”
“Ya. KL. Bos abang kata, kerja abang dulu ada yang tak selesai. Dia panggil abang untuk siapkan.”
Maaf Nana. Abang terpaksa menipu!
“Na..Nana?” Liur Irfan terasa kesat tika ditelan tatkala Nana menyoal.
“Sementara abang pergi, Nana tinggal dengan Cikgu Jasmine ya? Abang dah minta tolong dia. Sekejap aja abang pergi. Seminggu.”
Nana menundukkan kepala, “Dulu mak pun ka..ta seke..jap. Ta..pi a..bah dengan mak tak.. balik.”
Allah..
“Nana..”
Irfan memeluk Nana. Esak tangisan Nana sangat melumatkan hati lelakinya. Sehingga air matanya juga membasahi pipi.
Sendu kedua-dua beradik itu silih berganti. Dalam kesunyian malam, jiwa mereka meratapi. Rindu yang selalu menyeru tiada sahutan.
Pemergian yang ditangiskan tak akan kembali. Berbulan-bulan lamanya hati memanggil-manggil mak. Berhari-hari abah diseru. Tapi, tiada suara yang menyahut.
Allah..
Bukanlah hati ini tidak reda. Bukanlah jiwa ini tidak pasrah. Tapi, tiada nisan untuk kami lepaskan rindu ini. Tiada kubur yang boleh kami tuju.
Ya Rabb...
Mereka insan terpilih yang Kau pilih. Mereka yang telah Kau janjikan untuk bersemadi di kalangan para syuhada.
Dan aku reda dengan ketentuanMu.
“Nana, abang tak jadi pergi.” Kata Irfan sambil teresak kecil. Hatinya luluh melihat Nana begitu. Nana terlalu takut!
Irfan masih ingat bagaimana keadaan Nana bila mereka diberitahu yang kedua-dua orang tuanya sudah meninggal dunia di Mekah. Kalau dia yang lelaki sukar untuk menerima apatah lagi adik-adiknya. Nana tidak percaya langsung apa yang Irfan sampaikan padanya. Hinggalah hari sepatutnya mak dan abah mereka pulang dari tanah suci.
Mereka tiga beradik hanya mampu mendakap beg besar milik mak dan abah mereka. Hanya beg yang berada di muka pintu tapi bukan jasad tuannya! Dan Irfan tiada kekuatan untuk membuka dan melihat isi kandungan beg-beg tersebut.
Nini, menangis berhari-hari. Nana? Nana bagaikan orang histeria yang menjerit mencari mak dan abah mereka. Hanya Nana yang membuka beg-beg tersebut. Dikeluarkan baju-baju milik mak dan abah mereka. Dicium satu persatu. Air mata Nana tak pernah kering!
Dan hari ini, mereka  menangis lagi. Bezanya Nini tiada bersama mereka. Kalau beginilah keadaan Nana, bagaimana Irfan mahu terus memaksa diri untuk menipu? Ya benar, sememangnya Irfan hanya di sini, mulut saja kata dia akan ke Kuala Lumpur. Tapi dia tak mampu melihat Nana. Dia tak kuat untuk mendengar tangisan Nana. Dia tak gagah untuk menatap Nana yang sedang ketakutan. Takut akan pemergian yang tak pulang!


“Kenapa tak jadi pula? Kan Encik Irfan yang telefon saya semalam...”
Keluhan kecil tercetus dari bibir Irfan, dan telinga Jasmine mendengar dengan jelas!
Ya, dia yang telefon cikgu itu malam kelmarin.
“Kematian mak dan abah kami satu tamparan buat kami. Lebih-lebih lagi pada Nana. Kematian yang batu nisannya jauh nun di sana. Kubur yang kami sendiri tak tahu di mana letaknya.”
Jasmine kaget.
“Semalam, bila saya beritahu Nana; saya perlu tinggalkan dia dengan Cikgu, Nana menangis. Nana takut saya takkan pulang seperti arwah mak dan abah. Hingga ke pagi dia tidur dengan saya. Malah dia tak mahu ke sekolah langsung!” Suara Irfan sayu menyapa pendengaran Jasmine.
Begitu sekalikah Nana? Hati Jasmine berbisik.
Jasmine, kau tak pernah mengalami kehilangan orang yang tersayang. Mak dan ayah masih ada di sisi kau. Sedangkan Nana?
Bagaikan ada suara kecil yang lain menyoal Jasmine.
Ya Allah, bagaimana aku dapat membantu Nana? Macam mana aku mahu mengajarnya bersuci daripada haid? Desis Jasmine.
Matanya terpejam seketika. Hatinya bukan main gembira lagi saat mata ingin terlelap Irfan mengkhabarkan keizinannya. Tapi hari ini, wali anak muridnya itu memberitahu dia tak mampu untuk membohongi adiknya.
Jasmine teringat sesuatu!
“Encik Irfan, Nana mengaji di mana?” Soal Jasmine tiba-tiba.
“Er.. kami abah yang ajar sendiri. Tapi sejak mereka pergi, Nana belum sambung mengaji lagi.” Beritahu Irfan.
“Nini dah lama khatam, sebelum masuk sekolah menengah lagi.” Sambungnya lagi.
“Alhamdulillah. Tak apa kalau macam tu, saya akan ajarkan Nana pasal mandi hadas di sekolah saja. Lagipun Nana tu dia mampu faham. Dia bukanlah murid yang slow sangat. Malah dia juga belajar di kelas biasa. Inshaa-Allah dia juga boleh menduduki peperiksaan UPSR.”
“Tak menyusahkan cikgu ke?” Soal Irfan.
“Inshaa-Allah tak. Hanya untuk yang pertama kali. Nanti Nana akan biasa dan tahu apa yang sepatutnya dia lakukan apabila tiba waktunya. Ha.. lagi satu, mak saya guru Kafa pencen. Jadi mungkin Nana akan lebih selesa mengaji dengan mak saya. Nanti lepas Nana suci, Encik Irfan boleh hantar dia pada mak saya.”
“Allahukhabar.” Hanya itu yang terluah dari bibir Irfan. Tubir matanya basah lagi!
“Kami tak mampu nak tolong dari segi emosi Nana. Ya, saya tahu Nana masih lagi di peringkat untuk cuba menyesuaikan diri dengan kehilangan. Tapi, mana tahu Nana akan rasa sesuatu ketika berada di rumah saya nanti.” Ujar Jasmine.
Entah mengapa nalurinya menyebut mak sendiri. Hatinya tiba-tiba teringatkan Puan Jamilah di rumah. Ya, mak Jasmine itu guru Kafa pencen. Malah dia sememangnya mengajar anak-anak jiran yang mahu mengaji. Malah ada juga kelas mengaji untuk kaum wanita di hujung minggu.
Dan pada Jasmine, mak dia boleh mengajar Nana sepertimana Puan Jamilah mengajar dia dan kakaknya dulu. Naluri keibuan itu lain. Takkan sama dengan abang atau ayah! Bukankah Nana itu anak yatim piatu? Malah kisah dan peringatan tentang anak-anak yatim piatu juga terkandung di dalam Al-Quran.
 “…Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah: “Menguruskan urusan mereka secara patut adalah baik, jika kamu bergaul dengan mereka, maka mereka adalah saudaramu; dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerosakan dari yang mengadakan kebaikan…” (Surah Al-Baqarah ayat: 220)
“Saya tak tahu nak kata pada cikgu. Bersyukur sangat-sangat…”
Jasmine terus memotong cakap Irfan, “Tak apa Encik Irfan. Mungkin ini hikmah saya ditukarkan ke sekolah Nana. Inshaa-Allah, saya akan bantu setakat yang mampu untuk anak murid saya.”
Subhanallah Maha Suci Allah…
Semoga Kau memberi perlindungan serta rahmatMu ke atas cikgu Nana ini. Hati Irfan berdoa.


“Macam mana hari ni? Nana masih lagi uzur?” Tanya Jasmine perlahan.
“Sikit. Tak ba..banyak.” Jawab Nana juga dalam nada perlahan.
“Hari ni, hari kelima Nana uzur. Nana tuliskan apa yang cikgu suruh tulis?”
Anggukan kepala Nana buat Jasmine tersenyum.
“Mana? Tunjuk pada cikgu.” Minta Jasmine.
Buku kecil yang Jasmine belikan untuk Nana dihulurkan.
“Pandai Nana!” Serentak bibir yang memuji, tapak tangan Jasmine mendarat di atas kepala Nana. Mengusap perlahan di situ.
Di buku catatan itu, Jasmine menyuruh Nana menulis tarikh hari pertama Nana didatangi uzur. Nota untuk mandi hadas juga Jasmine menyuruh Nana tulis. Agar mudah Nana membuat semakkan dan rujukan nanti.
“Ingat ya Nana, jangan cerita dengan orang Nana sudah uzur.” Pesan Jasmine lagi.
“Ke..na..pa?” Bulat mata Nana memandang Jasmine.
“Itu rahsia orang perempuan. Kita kena jaga diri kita elok-elok.”
Nana… dia kanak-kanak yang fizikalnya normal. Jasmine bimbang, orang akan mengambil kesempatan dengan lembam yang dia miliki.
“A..bang?”
Jasmine tersenyum nipis, “Abang tak apa. Tapi Nana jangan minta abang mandikan lagi ya?” Nana mengangguk.
“Nana selalu tidur dengan abang?” Selidik Jasmine.
“Ka..dang-kadang.”
“Kalau boleh kawal diri Nana. Kalau abang ajak tidur, Nana cakap Nana nak tidur sendiri tau.”
“Ke..napa?” Soal Nana lagi.
“Nana sayang, Nana perempuan, abang tu lelaki. Orang perempuan dan orang lelaki tak boleh tidur sama melainkan suami isteri. Kita kena ada rasa malu dengan abang kita. Cikgu pun ada abang macam Nana. Cikgu pun ada kakak macam Nana. Tapi cikgu tidur dengan kakak cikgu. Abang cikgu tidur bilik dia.” Terang Jasmine.
“Tapi kakak kat as..rama.”
“Ya, cikgu tahu. Tak apa. Dulu pun cikgu tidur sama kakak. Lepas tu kakak cikgu belajar sekolah lain. Jauh. Tapi bila dia balik kami tidur sama. Sekarang dia dah kahwin. Duduk rumah lain. Cikgu tidur sorang-sorang macam Nana.”
“Oh.” Jasmine senyum makin lebar. Nampaknya Nana ni, masalahnya sosialisasi!
“Nana, nanti hujung minggu, Nana minta  dengan abang nak tidur dengan cikgu. Cakap elok-elok dengan abang. Kita tidur berdua nak?” Pancing Jasmine mengena bila Nana menjatuhkan kepala.

Dan hujung minggu nanti adalah genap seminggu Nana haid! Jasmine mahu Nana mandi hadas di rumahnya! Kalau Nana mampu mendengar kata untuk kelas tambahan selepas waktu persekolahan, boleh jadi Nana takkan mempersoalkan Irfan menghantarnya tuisyen di rumah Jasmine! Hati Jasmine tersenyum lebar.

P/s: thanks 4 ur reading!
jangan lupa komen. ;)