Saturday, January 9, 2016

Setitis Kasih Selaut Sayang


Bab 3



Jasmine mengeluarkan baju dan seluar sukan Nana, diambil juga keperluan penting Nana yang lain itu. Nana hanya memerhati. Wajah Nana jelas kelihatan sendu, malah masih tak hilang lagi riak ketakutannya.

Perlahan Jasmine menarik tangan Nana menuju ke tandas yang paling hujung. Jasmine mengunci pintu. Baju dan seluar Nana disangkutkan ke pintu. Penutup mangkuk tandas itu diturunkan, plastik yang berisi bungkusan tuala wanita itu Jasmine letakkan di atasnya.

Jasmine menunjukkan cara-cara yang sepatutnya Nana lakukan bila Nana didatangi haid. Nana merenung tanpa berkelip perbuatan Jasmine itu. Setelah tuala wanita itu diletakkan di seluar kecil Nana, Jasmine menghulurkannya pada pemiliknya.

Nana, hanya mengambil dan merenungnya.

“Nana, sekarang Nana pakai ya. Memang mula-mula rasa tak selesa. Tapi Nana akan biasa nanti.” Nana tetap tidak bergerak. Dia hanya memegang seluar kecilnya itu.

“Kenapa Nana? Nana malu cikgu ada ya?” Jasmine tersenyum.

“Cikgu tunggu dekat singki ya. Nanti Nana tukar baju sekali tau?” Nana hanya mengangguk.

Apabila Jasmine keluar dari tandas, Nana terus mengunci pintu. Jasmine berdiri memandang cermin. Merenung wajah sendiri. Ya, menjadi guru pendidikan khas ini, selalu buat diri Jasmine tilik diri sendiri. Bersyukur dengan apa yang dianugerahkan untuknya. Para pelajarnya tidak minta untuk lahir dengan keadaan seperti itu.

Walaupun mereka itu bukan terencat akal atau anak-anak sindrom down, tapi mereka juga istimewa. Lembam itu memerlukan kerjasama dari orang di sekeliling mereka. Orang terdekat dengan mereka juga harus bersabar dengan kerenah mereka.

Pantulan cermin itu, menunjukkan imej Nana di belakang Jasmine. Melihatkan Nana sudah kembali bersama baju sekolah di tangan, Jasmine memusingkan badan menghadap Nana. Baju sekolah yang sudah terkena darah itu, Jasmine cucikan di singki.

“Nana, kalau baju Nana atau seluar Nana terkena darah lagi macam ni. Nana kena basuh sendiri tau. Hurm, yang Nana pakai tadi pun sama. Sebelum Nana buang, Nana kena cuci dulu bersih-bersih. Lepas tu Nana isi dalam plastik, baru Nana buang dalam tong sampah. Nana faham tak cikgu cakap?” Soal Jasmine sambil tangan masih lagi mencuci bekas darah Nana. Nana hanya memerhati perbuatan cikgunya itu.

“Cik..cikgu tak..ta..kut da..rah?” Soal Nana. Matanya ralit memerhati tangan Jasmine yang sedang menyental bekas darahnya tadi.

“Nana, haid itu darah dari tubuh kita sendiri. Nana jangan takut tau. Kita, orang perempuan; memang akan mengalami haid setiap bulan. Setiap kali datang bulan, Nana kena pakai tuala wanita tu. Nana nampak kan cikgu ajar tadi?” Nana mengangguk apabila Jasmine menyoal.

“Nanti, Nana tengok di bilik air. Kalau banyak darahnya atau Nana tak selesa, Nana tukar pad lain. Jangan lupa cuci macam cikgu pesan.”

“Pad?” Berkerut dahi Nana mendengar perkataan yang Jasmine sebutkan tadi.

“Alamak! Sorry Nana, pad tu maksudnya tuala wanita yang Nana pakai tadi tu.” Jasmine ketap bibir. Dalam hati mengutuk diri sendiri! Mengapa sebut perkataan yang akan mengelirukan Nana?

“Dah siap. Nanti balik rumah, boleh cuci semula guna sabun.” Pakaian yang sedikit basah itu sudah diperah terlebih dahulu, sebelum Jasmine memasukkan kesemuannya di dalam plastik tuala wanita itu.

Kemudian mereka berdua keluar dari bilik air itu untuk kembali ke kelas semula. Pada kiraan Jasmine, pasti Irfan sudah pulang setelah Nana terpujuk untuk ke bilik air bersamanya tadi. Dan sangkaan Jasmine tepat, bila tiada lagi susuk tubuh tinggi lampai abang Nana itu di depan kelasnya.

Saat Jasmine mahu melabuhkan duduk di kerusi, mata Jasmine tertacap pada sehelai nota bertulisan tangan yang diletakkan di atas meja mengajarnya.

Assalammualaikum cikgu,
Terima kasih kerana membantu Nana.
Hanya Allah SWT yang dapat membalasnya.
Irfan Qusairy

Cantik tulisan dia! Puji hati Jasmine.

Apalah sangat dengan pelajaran yang saya ajar untuk Nana ini, sudah menjadi tanggungjawab saya; Encik Irfan. Sedangkan apa yang saya terangkan dan ajar Nana cara-cara menguruskan dirinya tika haid tadi, termasuk di dalam skop pembelajaran Nana.

Ya, nampak seperti Jasmine hanya sekadar membantu atas dasar perikemanusian. Mungkin juga Irfan menganggap Jasmine itu hanya bersimpati dengan adiknya itu. Tapi yang sebenarnya, pengurusan diri itu adalah salah satu mata pelajaran bagi para pelajar pendidikan khas.

Selain daripada Pengurusan Diri, Kelahiran Manupulatif dan Pengurusan Tingkah Laku adalah mata pelajaran tambahan untuk pelajar pendidikan khas seperti Nana. Program Pendidikan Khas Integrasi yang kerajaan lancarkan, adalah untuk murid-murid yang berkeperluan khas yang bermasalah di dalam pembelajaran, pendengaran dan penglihatan.

Adalah menjadi tanggungjawab guru-guru yang mengajar pendidikan khas seperti Jasmine Khaleeda, untuk memastikan para pelajarnya mampu menguruskan diri sendiri. Malah menjadi satu kelegaan bagi ibu bapa, apabila anak-anak istimewa mereka itu, mampu berdikari. Iyalah, sudah pasti ibu bapa itu mengharapkan anak-anak istimewa ini pandai membawa diri dalam apa jua keadaan. Sama seperti anak-anak orang lain yang normal!

“Encik Irfan, dulu ada  seorang cikgu senior di sekolah yang saya mengajar dan dia selalu berpesan pada saya;
Setiap pelajar itu istimewa. Tak kira siapa pun mereka, mereka berhak untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik!” Ucap Jasmine perlahan, bagaikan dia sedang bercakap bersama Irfan.


Lama Irfan menghadap skrin komputer ribanya itu. Anak matanya tekun memandang aksara yang terpapar. Pulang saja dari menjemput Nana di sekolah, dia terus berkurung di dalam pejabat urusan Dobi Aqua. Kedai dobi yang terletak di hujung barisan lot kedai Taman Seri Setanggi itu, adalah perniagaan keluarga Irfan sejak taman perumahan ini dibuka.

Apabila kedua ibu bapanya meninggal dunia, Irfan mengambil keputusan berhenti kerja sebagai jurutera. Dialah yang mengambil alih meneruskan delegasi perniagaan tersebut. Mustahil untuk dibiarkan pembantu kedai arwah ayah dia yang menjalankan operasi kedai tersebut tanpa pengawasan. Bukan di situ saja kedai dobi keluarga mereka, terdapat satu lagi cawangan Kedai Dobi Aqua di Kampung Melayu Majidee! Agak sukar sekiranya Irfan hanya mengikuti perkembangan operasi kedai-kedai dobi tersebut dari jarak jauh. Maka berundur diri dari kerjayanya sendiri saja pilihan yang Irfan ada.

Sesungguhnya menggalas tanggungjawab itu bukanlah mudah. Lebih-lebih sekarang Irfan ibarat ayah dan mak untuk Nini dan Nana. Disebabkan Nana didatangi haid yang pertama hari ini, Irfan mencari maklumat tentang haid! Menguruskan perniagaan tidak sama dengan menguruskan adik-adiknya. Apatah lagi Nana itu anak istimewa. Dia perlu lebih peka!
“A..abang, Na..na nak ba..lik rumah.” Suara Nana itu membuatkan Irfan panggung kepala. Nana sudah berdiri di sisinya. Tadi Nana berada di sofa yang terdapat di dalam bilik tersebut. Tempat biasa untuk dia merebahkan diri apabila pulang dari sekolah.

“Nana sakit perut ke?” Irfan bertanya, dari matanya adiknya itu seperti tidak selesa!
Tadi pembacaannya menerusi intenet juga ada menyebut tentang haid dan senggugut. Walaupun tak semua orang akan mengalami sengggugut yang teruk, tapi kesakitan di bahagian pinggang dan ari-ari itu tetap ada!
Nana hanya mengangguk menjawab pertanyaan Irfan.

“Oklah, jom kita balik.” komputer riba dimatikan. Beg sekolah Nana, dicapai. Mereka berjalan beriringan keluar dari bilik urusan itu, bersama topi keledar masing-masing.

Setiap hari Irfan menang akan menggunaka motor saja untuk menghantar dan menjemput Nana dari sekolah. Melainkan, hari hujan saja baru dia akan menggunakan kereta.

Sampai saja di rumah, Nana terus masuk ke bilik dan terus mengunci pintu. Irfan yang melihat mula berasa tidak sedap hati. Tak pernah Nana akan mengunci pintu biliknya dari dalam!

“Nana..” Panggil Irfan sambil mengetuk pintu bilik si adik. Nana tidak menyahut langsung panggilan abangnya. Bukan cuma sekali Irfan menyeru nama Nana, malah berkali-kali! Namun Nana tetap mendiamkan diri.

Ah, sudah. Kenapa pulak dengan adik aku ni? Desis Irfan.

Emosi tak stabil atau senggugut teruk? Minda Irfan mengingati setiap ayat bacaannya tadi.

Tak boleh jadi kalau macam ni! Jerit hatinya pula.

Irfan terus meninggalkan pintu bilik Nana itu. Dibawa kakinya ke almari sudut di ruang tamu.  Kunci  spare untuk pintu bilik dan pintu utama rumahnya diambil. Pantas Irfan membawanya ke bilik Nana. Tapi baru saja anak kunci itu dimasukkan ke tombol, pintu sudah terbuka dari dalam. Terjengul muka Nana yang segar!

Terkebil-kebil mata Irfan memandang Nana, “Nana mandi?” Nana menjatuhkan kepala.

Bertuah punya adik! Bukan nak cakap nak mandi! Kita punyalah risaukan dia! Gumam Irfan.

Nana, bukannya tak pandai menguruskan diri sendiri. Nana boleh mandi sendiri. Tapi kalau datang anginnya mahu bermanja, Nana akan meminta untuk dimandikan. Walaupun ketika arwah mak mereka ada, Nana tidak malu untuk menyuruh Irfan memandikannya.

Nana.. apa saja permintaannya akan diturutkan oleh semua orang! Kerana mereka tahu, kelahiran Nana ketika usia mak mereka sudah berusia, adalah anugerah tidak ternilai! Rezeki yang tidak disangka. Malah kelahirannya juga mengalami kompilasi apabila tali pusat Nana sudah terkeluar terlebih dahulu. Dan Nana diselamatkan dengan kelahiran pembedahan.

Mungkin juga Nana didiagnoskan sebagai anak lembam ketika berusia lapan tahun adalah kesan daripada cord prolapsed semasa Nana lahir dulu. Irfan masih ingat lagi tika lahir, Nana tidak menangis malah kata ayah, Nana lembik! Dari penerangan doktor, Nana disahkan Hypoxic Ischaemic Encephalopathy (HIE). Dan kerana itu, Nana ditempatkan di NICU dengan jangka masa yang lama. Nana juga kerap dibawa ke hospital sepanjang dua tahun kelahirannya.

Syukur, perkembangan Nana seperti anak orang lain walaupun agak lambat sedikit.

“Sini, abang sikatkan rambut tu betul-betul.” Tangan Nana ditarik menuju ke katil bujangnya. Kedua-duanya duduk bersila di atas katil. Perlahan irfan mula menyisir rambut panjang Nana.

“Nana pakai tak yang abang beli tu?” Irfan bertanya untuk memastikan Nana tidak lupa.

“Pakai.” Jawab Nana.

Nur Hana.. adakalanya percakapannya jelas dan tidak tergagap-gagap untuk satu perkataan!

“Betul ke Nana pakai tu?”

“Betul.” Irfan sengih. Walaupun Nana di hadapannya, dan dia tidak melihat wajah si adik, tapi dari nada suaranya Irfan tahu Nana mula emosi. Marah agaknya bila Irfan seperti tidak yakin dengannya.

“Cuba Nana cakap dengan abang, macam mana Nana pakai.” Pinta Irfan. Dia sengaja mahu Nana bercerita. Mahu dengar dan tahu betul atau tidak, cara adiknya memakai tuala wanita itu. Dan dia mahu membezakan dengan pembacaanya di internet tadi.

“Cik..gu pe..san ya..ng ada gam le..katkan pa..da se..luar.” Berlinang air mata Irfan mendengar tutur kata Nana.

Ya, hari ni Nana sudah bergelar anak dara dalam erti kata yang sebenar!

“Pandai adik abang!” Bibir Irfan menyentuh rambut lembab Nana. Haruman syampu rambut Nana menyusuk ke rongga hidungnya.

“Nana sakit perut lagi?” Soal Irfan.

“Sa..kit. Ta..pi Nana bo..leh ta..han. Ka..ta. cikgu nan..ti Nana a..akan bia..sa.” jawapan Nana buat bibir Irfan terus menerus melebar.
Terima kasih cikgu! Bisik hati Irfan.


“Mak, Mine risaulah.” Dari tadi Jasmine berkurung di dalam biliknya. Hatinya dilanda kerisauan. Fikirannya teringatkan Nana! Anak muridnya itu sudah masuk ke dalam kotak fikirannya.

“Risau apanya ni Mine?” Soal Puan Jamilah. Tangan yang sedang mengutil sayur bayam itu terhenti seketika.

“Nana.” Jawab Jasmine ringkas.

“Sapa pula Nana tu? Kamu ni bercakap, macamlah mak ni kenal semua kawan-kawan kamu.” Jasmine sengih.

Iya tak ya juga aku ni. Main sebut saja nama Nana tu. Hujung pangkalnya tak diceritakan! Gumam Jasmine sendiri.

“Nana tu anak murid Mine. Nama dia Nur Hana, dia yang bahasakan diri dia Nana.”

“Dah kenapa pula dengan budak tu?” Tanya Puan Jamilah sambil merenung muka Jasmine.

“Nana tu budak pendidikan khas mak. Anak yatim piatu, tinggal dengan abang dia. Tadi dekat sekolah, Nana tu first day period. Menangis-nangis dia mak. Sedih Mine tengok tadi, sampai Mine pun menangis sama.” Jasmine mula bercerita. Wajah sendu Nana masih segar di peluput matanya. Riak Irfan yang serba salah juga masih dia terbayang-bayang.

“Allah.. kesiannya budak tu.” Ucap Puan Jamilah.

“Memang kesian mak. Mak ayah dia meninggal kat Mekah. Mak ingat tragedi kren runtuh kat sana tu? Mak dengan ayah Nana terlibat sama dengan accicident tu.” Beritahu Jasmine.

“Allahuakhbar. Innalillahwainnalillahirrajiun…”

“Itu yang merisaukan hati Mine sekarang ni.” Berkerut-kerut dahi Puan Jamilah mendengar kata-kata si anak. Agak sukar untuk dia menghadam maksud yang sedang cuba Jasmine sampaikan padanya.

“Apa maksud Mine?”

“Mak, Nana tu kadang-kadang abang dia yang mandikan. Bila anak perempuan akil baligh, setiap inci tubuhnya akan mengalami perubahan sedikit demi sedikit.” Puan Jamilah mengangguk.

Ya, benar dan betul apa yang Jasmine katakan itu.

“Mine takut, ia akan membangkitkan nafsu si abang.”

“Astagfirullahal-Azim.. Jasmine Khaleeda! Tak baik bersangka buruk dengan orang!” Tegur Puan Jamilah. Besar kelopak matanya memandang si anak! Jauh sangat Jasmine berfikir.

“Mak, Mine bukan bersangka buruk. Tapi Mine bimbang. Kita tak tahu mak, mereka tinggal berdua. Nana tu kanak-kanak istimewa. Kita tak nampak cara Irfan mandikan Nana. Diajarnya Nana berkemban ke, cuma mandi dengan berseluar dalam ke, atau berbogel ke? Mana kita tahu. Kalau hati sudah dirasuk dek syaitan, nafsu sudah beraja; seorang bapa pun sanggup menerkam anak sendiri!”

Mengucap panjang Puan Jamilah mendengar telahan Jasmine. Anak bertuah nan seorang ini, memang suka berfikir jauh ke depan! Kita tak terfikir pun sampai ke situ, tapi dia? Boleh pula dia berfikir ke arah itu. Tapi ada benarnya juga, mereka berlainan jantina. Nanti makin lama lain pula jadinya . Bisik hati Puan Jamilah.

“Habis, Mine boleh buat apa? Itu anak orang Mine. Bukan anak abang Khaled. Bukan anak kak Mawar.” 

“Sebab bukan anak buah Minelah Mine risau. Anak-anak buah Mine ada mak bapanya lagi.” Jawab Jasmine senada.

“Mak, Mine nak bawa Nana tinggal dengan kita boleh tak?” Terbuntang mata Puan Jamilah mendengar pertanyaan Jasmine itu.

“Cikgu Jasmine Khaleeda, anak murid awak tu memanglah yatim piatu, tapi awak juga yang kata dia tinggal dengan abang dia. Bukannya dia sebatang kara!” Tegur Puan Jamilah.

“Tak.. macam ni, Mine nak minta izin dengan abang dia. Dalam tempoh Nana haid ni, Mine nak bawa dia balik tinggal dengan kita. Kita kena bantu dia mak. Takkan nak biarkan Irfan tu yang ajar Nana mandi wajib?” Jasmine memandang Puan Jamilah. Nampak seperti dia merayu dengan maknya sendiri, untuk memahami niat dia.

Betul juga. Aduhai, kesian betul hati ni mendengar kisah budak tu. Gumam Puan Jamilah.

“Terpulanglah pada Mine. Minta izin dulu dengan abang budak tu.” Jasmine senyum. Alhamdulillah. Bisik hatinya.

“Mak, agak-agak ayah marah tak?”

“Ishh, tak adanya ayah nak marah kalau tahu niat Mine tu.” Kata-kata Puan Jamilah itu mengundang tawa kecil di bibir anak gadisnya.

“Sekarang juga Mine nak telefon abang dia. Harap-harap abang dia setuju!” Tak sempat Puan Jamilah berkata apa, Jasmine sudah meninggalkan ruang dapur itu dengan pantas!

“Jasmine Khaleeda! Jangan lupa datang sini balik! Ayah awak nak makan sambal belacan air tangan awak!” Laung Puan Jamilah.

“Ya mak. Kejappppp….” Sahut Jasmine dari jauh,






P/s: Thanks 4 ur reading.
jangan lupa komen! tqvm :)



9 comments:

Unknown said...

Irfan izinkan ke tak ek????

Unknown said...

Irfan izinkan ke tak ek????

Aina Hamra said...

Entah la.. Kita tunggu Irfan jawab apa eh kak.

Unknown said...

Alaaa rasa tak puas plak baca...rasa macam nak tau sgt p yg jd kt nana...agak2 irfan bg tak?

Aina Hamra said...

Thanks syg. Kita tgu ya?

belladaud said...

Baiknya.cikgu jasmine...sooo.sweet..:-):-)

Aina Hamra said...

;) Jasmine Khaleeda mmg Manis! Hihihi

Unknown said...

Mmmm...best..hrp2 nti cikgu ni jd kakak ipar nana..tq Aina Hamra..

Aina Hamra said...

Tq yaya,hihi.. Stay tuned!