Sunday, December 20, 2015

Izinkan Aku...

3



Tangan Amsyar yang berbalut itu dipandang sayu. Sisa air mata dipinggir mata si kecil itu dikesat perlahan. Amsyar keletihan gara-gara menangis terlalu banyak! 

Ainul tahu, tangan yang melecur itu sakit. Sedang dia sendiri terasa sakit akibat terpercik minyak panas ketika memasak, inikan pula tangan Amsyar yang terkena bunga api. Pastilah tangan itu sedang berdenyut bisa!

Ketika di unit Kecemasan Dan Trauma tadi, suara Amsyar paling nyaring sekali. Elman memeluk kuat Amsyar apabila si kecil itu tidak mahu memberikan kerjasama dengan doktor untuk mencuci luka itu. Melihatkan Amsyar yang meronta-ronta menjerit memanggil ibu, Ainul tewas! Air matanya juga mengiringi tangisan Amsyar.

Sudahnya, Amsyar dimasukkan ke wad. Kata doktor tadi, Amsyar akan dirujuk dengan doktor orthopedik  untuk pemeriksaan lanjut. Dan dressing bagi kecederaan Amsyar itu akan dilakukan di dewan bedah dengan bantuan bius sepenuhnya. Amsyar tak mampu menahan kesakitan, tadipun doktor itu sudah memberikan ubat untuk menahan sakit, tapi ia seolah-olah tidak berfungsi untuk Amsyar.

“Abang, abang baliklah dulu ambil barang-barang Amsyar. Yang penting botol susu dan susu dia. Ainul takut kejap lagi dia sedar minta susu.” 

Elman hanya mengangguk. Ya, dia perlu pulang ke rumah untuk mengambil keperluan anaknya dan Ainul. Berapa lama Amsyar akan ditahan wad, dia tak tahu! 

Amsyar yang sedang tidur itu, didekati. Perlahan dahi si anak Elman kucup. Maafkan ayah sayang, kalau ayah tak biarkan anak ayah bermain dekat luar, pasti Amsyar takkan sakit seperti ini. Bisik Elman perlahan.

Huluran tangannya, Ainul sambut perlahan. Belakang tangannya dicium oleh Ainul… “Hati-hati memandu abang…” Ainul cuba mengoyak senyum, tapi amat janggal Elman melihatnya. Senyuman Ainul, Elman balas dengan penuh kasih sebelum dia berlalu pergi.

Elman, bukanlah buta untuk tidak melihat setiap senyuman yang terbias di bibir isterinya. Dia juga bukannya pekak untuk tidak mampu membezakan setiap intonasi nada Ainul. Dia tahu, hati Ainul sedang diselubungi kesedihan. Wanita kesayangannya itu sedang memendam rasa!

Allahuakhbar..

Kegembiraan apakah yang selalu aku hadiahkan untuk isteriku selain daripada kesedihan yang silih berganti? Aku mohon Ya Allah, izinkan aku memberi secebis kebahagian untuk dirinya. Izinkan aku menjadi suami yang selalu memberi kegembiraan di hatinya. Juga kau izinkanlah aku menjadi anak lelaki yang soleh untuk ibuku. Sungguh aku tersepit Ya Allah! Suara hati Elman bergema di seluruh pelusuk jiwanya.

Puan Rokiah itu wanita yang melahirkan Elman. Dan Ainul Mardhiyah itu wanita yang melahirkan zuriatnya. Antara kedua-dua wanita itu, kasih sayang Elman tiada tolak bandingnya. Mereka berdua wanita yang dicintai sepenuh hati. Tetapi, antara ibu dan isteri… pastilah darjat seorang ibu yang paling tinggi berbanding isteri. Dan kerana itu juga Elman tak mampu memberikan keadilan untuk Ainul. Elman tidak berlaku adil apabila tibanya ramadhan dan syawal.

Saban tahun, Ainul yang sentiasa sibuk di dapur. Setiap tahun, dia yang bagai lipas kudung di dapur. Ya, Ainul cuma menantu dan adik ipar, wajiblah dia yang menyediakan dan menguruskan untuk adik beradik suaminya yang pulang beraya! Sudah tentu kerana dia bergelar isteri kepada pemilik rumah pusaka itu.

Permintaan Ainul bukanlah sebesar mana. Bukan emas berlian yang dia minta daripada Elman. Dia hanya mahu pulang ke kampung. Ainul Mardhiyah cuma meminta untuk beraya di Kelantan. Itu saja!

Tetapi, permintaan yang diusulkan itu tak pernah diluluskan. Elman tak pernah berkata ya, dia belum pernah memberikan keputusan sendiri. Apabila Puan Rokiah berkata tidak boleh beraya di Tanah Merah, itu juga yang Elman sampaikan kepada Ainul.

Apakah hak seorang menantu untuk pulang beraya di rumah ibu bapa sendiri telah dilucutkan apabila dia tinggal serumah dengan mertua?

Bimbang tiada orang yang akan memasak juadah di pagi raya? Tapi bukankah keluarga Kak Ngah dan Abang Long ada. Saban tahun mereka  akan mula bermalam di rumah pusaka itu pada malam raya. Malah mereka pulang awal, sebelum maghrib mereka sudah sampai di rumah tua itu!

Sungguh, Ainul tak faham! Ya, benar. Kalau suami tidak mengizinkan, dia tidak boleh membantah. Tapi setiap tahun yang tidak memberi izin kepada dia adalah mak mertuanya, bukannya Elman.

Aidilfitri bakal menjelang, apakah alasan kecederaan yang Amsyar alami itu menjadi batu penghalang lagi untuk permintaan Ainul pulang beraya?

“Ma, maafkan Ainul… mungkin tahun ni Ainul tak dapat balik raya lagi.” Dan air mata Ainul perlahan menuruni lekuk pipinya.







Post a Comment